Wednesday, August 5, 2009

us

SMKA Mohamad Ali Ranau

Tanggal 08 Jun 2003, detik paling bersejarah bagi warga SEMEKAR melangkah ke alam yang baru, suasana yang baru di sekolah yang serba baru. Terletak di kaki bukit yang mempunyai panorama indah dan menawan, udara yang segar serta nyaman, diliputi kabus ketika fajar menyinsing. Kedinginan di kala dinihari menyaksikan satu pemandangan yang indah dan sejuk mata memandang.

Disember 1998 telah mencatat sejarah yang penuh gemilang tatkala yang berbahagia Datuk Najib Tun Razak pada ketika itu menjadi Menteri Pendidikan Malaysia meletakkan batu asas sebagai titik permulaan pembinaan tapak sekolah. Siap dibina selama 22 bulan (November 2001 hingga Januari 2003) yang menelan perbelanjaan sebanyak RM33 juta.

Terletak di kilometer 2, kampung Lohan Ulu, lebuh raya Poring – Lohan, Ranau, di keluasan 18.21 hektar bersamaan 45 ekar yang terletak pada altitud 670 meter dari aras laut yang menempatkan 19 buah bangunan yang direka dengan begitu unik dan menarik setanding dengan kepesatan teknologi pembangunan pada masa kini. Merupakan di antara sekolah yang tercantik di Sabah dan juga di Malaysia amnya.

Dari jauh, pemandangan sekolah ini amat menarik terutama sekali pada awal pagi kerana kabus yang meliputi seluruh kawasan sekolah ini, seolah-olah menarik minat orang awam ingin mengenali sekolah ini dengan lebih dekat.

Seiring dengan perubahan arus kemodenan, SEMEKAR sekali lagi mencipta sejarah apabila nama SMK Agama Ranau , satu-satunya sekolah menengah agama di Ranau bertukar nama kepada SMK Agama Mohamad Ali Ranau setelah enam belas tahun berlalu. Apa yang pasti SEMEKAR akan tetap unggul dan terus bersaing dalam segala aspek samada bidang kurikulum dan ko-kurikulum untuk membentuk insan yang kamil.

PENTADBIRAN SEMEKAR sepanjang enam belas tahun pertama SEMEKAR , ia telah diterajui oleh 7 orang pengetua. Peneraju pertama di sekolah baru ini atau lebih dikenali sebagai SMK Agama Mohamad Ali Ranau, adalah pengetua yang kelima iaitu Tuan Hj. Megat Abu Bakar bin Hj. Megat Hussin yang memulakan tugas pada 3 Disember 2001 hingga 16 Julai 2005. Tahun 2005 menyaksikan SEMEKAR menerima seorang pengetua baru iaitu Dr. Jusoh B. Abd. Kadir yang memulakan tugas pada 15 Julai 2005. Pastinya kehadiran tuan pengetua yang baru akan meneruskan tradisi kecemerlangan SEMEKAR dan membawa SEMEKAR maju setapak lagi dalam arena pendidikan masa kini.Berikut adalah senarai pengetua yang pernah mengemudi tonggak pentadbiran SEMEKAR :

NAMA PENGETUA

TEMPOH BERKHIDMAT

Ust. Abi Rerah Awang Chik

1989 - 1992

Ust. Mohd. Ghazali Abu Bakar

1992 - 1994

Ust. Hj. Sarnon Jumiron

1994 - 1997

Ust. Hj. Rakhibi Othman

1997 - 1999

Ust. Daud Hashim

1999 - 2001

Tn. Hj. Megat Abu Bakar Megat Husin

3 Dis 2001 – 13 Jul 2005

Dr. Jusoh B. Abd. Kadir

15 Julai 2005 - 1 Oktober 2008

SEMEKAR hari ini bukanlah SEMEKAR enam belas tahun dahulu. Kini terdapat 650 orang pelajar dan 45 ke 50 orang tenaga pengajar. Bilangan kelasnya juga sudah bertambah; empat buah kelas bagi setiap tingkatan 1 hingga tingkatan 5; 1 kelas tingkatan 6 Rendah dan 1 kelas tingkatan 6 Atas. Bilangan KTBM juga bertambah seramai 22 orang.

Aliran yang ditawarkan ialah aliran Agama, aliran Sains Tulin dan aliran Prinsip Akaun. Namun, bersesuaian dengan arus perubahan semasa, SEMEKAR sentiasa membangun dari setahun ke setahun unutk terus bersaing dan maju ke hadapan. Keadaan fizikal dan prasarana sekolah ini yang serba moden, seiring dengan kemajuan era teknologi maklumat. Permintaan dan sambutan yang tinggi dari penduduk setempat dan luar juga telah menaikkan imej dan martabat SEMEKAR di mata masyarakat.

AKADEMIK, KOKURIKULUM DAN CABARAN ALAF BARU Sebagai sebuah intitusi pendidikan menengah yang sentiasa peka dengan perkembangan mutakhir, SMK(A) Mohamad Ali Ranau, (SEMEKAR) tidak ketinggalan menyahut seruan kerajaan untuk melahirkan generasi teknokrat yang bakal merealisasikan Wawasan 2020. Justeru, mulai 2004, SEMEKAR telah membuka lebih banyak tempat untuk pelajar memasuki aliran Sains Tulen untuk pelajar-pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Dalam peperiksaan awam, PMR, SPM, STPM, SEMEKAR adalah diantara sekolah terbaik di peringkat KOBTAR dan antara sekolah yang terbaik di antara SMKA seluruh Sabah . SEMEKAR sudah mampu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dalam akademik; 9A dalam PMR, 8A dalam SPM. Kebolehan Semekar tidak tertumpu kepada akademik semata-mata. Pelajar-pelajarnya juga menyerlah dan menonjol dalam bidang kokurikulum. Dalam acara pentas terutamanya, mereka sentiasa terpilih untuk mewakili daerah Ranau ke peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan. Bila tiba musim Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) tahunan, SEMEKAR menjadi pasukan pilihan untuk membolot tempat teratas, dan sekaligus menjadikannya satu pasukan yang amat disegani lawan dan kawan. Wakil-wakil sekolah juga telah berjaya membantu sekolah dan KOBTAR muncul juara dan terpilih mewakili KOBTAR ke peringkatan yang lebih tinggi lagi seperti peringkat negeri dan kebangsaan.Dalam bidang sukan, acara ping pong, bola keranjang dan bola sepak telah menyaksikan beberapa orang pelajar putera terpilih mewakili KOBTAR ke peringkat negeri. Lebih daripada itu, pelajar-pelajar SEMEKAR juga tidak kurang hebatnya dalam MSSS apabila berjaya melahirkan atlit yang mencipta nama di persada sukan kebangsaan seperti MSSM dan SUKMA dengan mengutip pingat. Rentetan kejayaan yang dicapai sehingga kini telah berjaya menepis anggapan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa SEMEKAR (dan SMKA amnya) hanya mementingkan pendidikan Agama dan akademik semata.Kini, impian SEMEKAR untuk berpindah ke sekolah yang baru telah pun menjadi kenyataan. Di sinilah warga SEMEKAR akan mencorakkan masa depan sekolah dengan sebuah kejayaan dan kegemilangan selaras dengan motto, visi dan misi sekolah. SEMEKAR adalah sekolah yang cemerlang, gemilang dan terbilang pada tahun 2008 nanti. Insyallah…..


MOTTO SMKA

“BERILMU, BERIMAN, BERTAQWA”